Bedah Buku ‘Perang Kastila dan Ugama : Satu Analisa’



Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said, Ihsan Jabatan Mufti Kerajaan





BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 17 April. - Buku bertajuk 'Perang Kastila dan Ugama : Satu Analisa' terbitan Jabatan Mufti Kerajaan yang baru dilancarkan, mengetengahkan perspektif baharu dalam menilai semula peristiwa bersejarah Perang Kastila melalui sudut fakta, undang-undang dan agama.


Kupasan buku tersebut telah disampaikan dalam satu Sesi Bedah Buku oleh Timbalan Dekan, Fakulti Undang-Undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr. Dayang Hajah Hanan binti Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz, selaku Penulis Bersama.


Dalam pembentangannya, beliau menyifatkan peluang untuk terlibat dalam kajian bersama Jabatan Mufti Kerajaan sebagai satu penghormatan, selain menegaskan bahawa kajian mengenai Perang Kastila masih mempunyai ruang untuk diperhalusi.


Menurutnya, walaupun pelbagai penulisan telah dihasilkan, masih terdapat persoalan penting yang belum terjawab sepenuhnya, khususnya berkaitan naratif kemenangan awal Sepanyol ke atas Brunei.


Dari sudut sejarah, jelas Dr. Dayang Hajah Hanan, Brunei dilihat mengalami kekalahan apabila Gabenor Sepanyol, de Sande, bersama askar-askarnya berjaya memasuki Brunei serta menggeledah Istana Sultan Abdul Kahar (Raja Tua). Pada 20 April 1578, mereka sekali lagi menyerbu Istana Sultan Saiful Rijal dan mengisytiharkan Brunei sebagai milik Sepanyol.


Keadaan tersebut menyebabkan Sultan Saiful Rijal berundur ke Meragang sebelum berpindah ke Jerudong, diiringi oleh Pengiran Bendahara Sakam. Seterusnya, Bendahara Sakam kembali ke bandar untuk mengumpulkan kira-kira 1,000 pemuda sebagai perajurit.


Bagaimanapun, terdapat pandangan dalam penulisan sejarah yang menyatakan bahawa pengunduran Sepanyol adalah disebabkan ketakutan terhadap kekuatan tentera Brunei yang dikatakan memiliki 50 buah kapal perang dengan 1,000 perwira.


“Dari sudut logik, apakah 50 buah kapal perang memadai dikendalikan hanya oleh 1,000 orang? Berapa orangkah bagi tiap-tiap sebuah kapal? Cuma 20 orang sahaja. Apakah ini boleh dianggap munasabah?" jelas beliau.

 

Tambahnya, persoalan utama yang diketengahkan dalam buku ini ialah sebab sebenar pengunduran Sepanyol dari Brunei.


Beliau menegaskan bahawa Sepanyol tidak mungkin berundur kerana kelemahan, memandangkan mereka masih mampu melakukan tindakan agresif termasuk membakar Masjid Jame' Brunei hanya beberapa hari sebelum berundur.


Sehubungan itu, buku tersebut mengemukakan pandangan bahawa pengunduran Sepanyol adalah disebabkan pertolongan Allah kepada Brunei, berkat kepimpinan raja yang beriman dan tegas mempertahankan agama serta negara.


Selain itu, buku berkenaan turut menyentuh isu pengkhianatan melibatkan dua pembesar tempatan yang didakwa membantu Sepanyol serta menghuraikan hukum menderhaka kepada raja daripada perspektif agama.


Dalam masa yang sama, analisis turut diperluaskan kepada undang-undang antarabangsa, khususnya berkaitan kaedah pemerolehan wilayah seperti pendudukan, penemuan, penyerahan dan perjanjian, penggunaan kekerasan / penaklukan dan keputusan kehakiman.


“Maka di sini kami hanya mahu ingin melihat status Brunei di bawah apakah ia? Ternyata ia berada di bawah Kategori 'Penyerahan dan Perjanjian' (cession) dengan Great Britain, bukan penaklukan dengan kekerasan (under conques) yang kedua-duanya itu menyangkut perkara undang-undang antarabangsa.


“Ternyata Brunei bukan ditakluki tetapi adalah diserahkan secara rasmi oleh sultan kepada satu kuasa lain (Great Britain) melalui perjanjian yang sah. Biasanya perjanjian seperti ini berlaku selepas perang atau sebagai sebahagian daripada urusan diplomatik," ujarnya.


Dr. Dayang Hajah Hanan menambah, di sinilah bezanya Sepanyol terhadap Brunei, mereka masuk dengan kekuatan yang dilengkapi bala tentera, memaksa Raja untuk menukar ugama dan sekali gus mengisytiharkan Brunei menjadi hak Sepanyol. Namun Raja tidak pernah bertitah memperakui atau membenarkan kehendak Sepanyol ini.


Beliau menambah, dari sudut undang-undang antarabangsa, tindakan Sepanyol boleh dianggap sebagai penaklukan yang tidak sah.


“Di dalam buku ini kami menukil isi perjanjian antara Brunei Darussalam dan Great Britain untuk sama-sama diambil pengertian dan sekali gus untuk kita dapat memahami tindakan Sepanyol terhadap Brunei adalah sangat berbeza dengan hubungan Brunei Darussalam dan Great Britain," jelas Dr. Dayang Hajah Hanan.


Close